Al Quran & Kita

Manusia seringkali memerlukan panduan dalam segala urusan, renungkanlah bagaimana seandainya peralatan atau barangan yang dibeli tidak disertakan manual atau bahan yang mengajar kita cara mengoperasikan peralatan tersebut sudah pasti akan berakhir dengan keresahan dan perasaan hampa serta kecewa. Paling malang seandainya peralatan yang dioperasikan tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Begitulah manusia sentiasa memerlukan panduan dan petunjuk agar kita tidak tersalah dan tersilap dalam menjalankan sesuatu perkara. Namun ramai manusia yang tidak sedar bahawa begitulah jua kehidupan ini, kita memerlukan panduan dan manual yang dapat memandu dan memimpin kearah mencapai kehidupan yang bahagia dan sejahtera. Sedarkah kita bahawa panduan bagi kehidupan di dunia ini hanyalah Al-Quran.

“Tetapi kami jadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus” (As-Syura:52)

Sewajarnyalah Al-Quran ini dijadikan tempat rujukan segala sesuatu kerana ia mengandungi kalimah-kalimah yang benar daripada Allah S.W.T yang dipelihara daripada sebarang perubahan walau masa dan zaman berlalu tidak sebagaimana yang berlaku pada Kitab taurat dan Injil yang telah diubah dan disunting bagi memenuhi kehendak hawa nafsu manusia. Apabila perkara ini berlaku kita dapat melihat bahawa agama dipandu oleh manusia yang tidak mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia itu sendiri.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kami yang memeliharanya” (Al-Hijr:9)

Al Quran merupakan wahyu Allah yang tersusun rapi yang tidak patut diragui oleh mereka yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al-Baqarah : 2,
"tiadalah sebarang keraguan didalamnya."
Seharusnya sebagai manusia yang beriman adalah tidak patut dan tidak wajar timbul kesangsian akan kebenaran Al-Quran, ia sewajarnya menjadi rujukan sepanjang masa dan ketika, dan apabila kita tersesat atau kebuntuan Al-Quran lah tempat kembali mencari jawapan dan penyelesaian. Tiadalah sesuatu sistem yang sempurna yang dapat menandingi kesempurnaan sistem yang terkandung didalam alquran, namun mengapakah kita masih mencari panduan dan mendampingin rujukan selain daripadanya , renungkanlah bersama…
Wallahuaklam.

Sumbangan dari ahli Usrah Belia SPS

Posted by JIM PULAU PINANG Thursday, November 12, 2009

0 comments

Post a Comment