Assalamulaikum
Manusia hanya merancang, Allah yang Mentaqdirkan. Kita mengharapkan perancangan kita tidak bertolak dari nafsu yang tidak Diredhai. Tidak pula bertolak dari kerja yang ditangguh-tangguh yang Dibenci Allah"
Sahabat Wira Pejuang Palestin yang kini memijakkan kaki di Bumi Gaza!
Perlukah saya menghantar perutusan ini dalam keadaan anda telah berjaya melintasi uijian-ujian pahit itu? Memang ujian Allah S.W.T tidak akan berakhir selagi kita "mukallaf" hidup dan dipertanggongjawabkan.
Keputusan muktamad untuk menyertai konvoi ini dibuat pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian ahli BOD berada di masjid beriktikaf dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Kami tidak dapat membuat keputusan lebih awal kerana menanti beberapa info dari beberapa sumber yang sangat teliti. Allah menentukan keputusan perlu dibuat pada ketika kami beriktikaf di masjid rupanya, di 10 malam terakhir Ramadhan.
Saya percaya ratusan ribu dan mungkin jutaan manusia mendoakan konvoi ini. Penduduk Gaza dan Tebing Barat sendiri pun dah melebihi angka juta. Saudara kita di Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Singapura, Brunei, India, Pakistan dan 20 buah Negara-Negara Arab, Eropah, Benua Amerika dan Afrika, pasti mengikuti perkembangan anda di sana.
Anda telah berdiri memijakkan kaki di England, Itali dan Perancis bumi penjajah, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.
Anda telah berdiri memijakkan kaki di Turki bumi Abu Ayyub al-Ansari dan bumi Sultan Mohammad al-Fatih, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.
Anda telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Syria, menyaksikan perkemahan pelarian Palestin, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.
Anda juga telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Mesir dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.
Kuasa Allah, selepas Menguji anda dengan perjalanan udara, air dan darat ribuan kilometer membelah bumi, menunggu dan menanti, akhirnya... kini anda telah menyerahkan kenderaan dan muatannya. Kini anda bertemu dengan mereka sendiri. Puas anda mendakap sahabat-sahabat pejuang itu, puas anda mengusap kepala anak yatim dari bapa yang syahid di jalan Allah.
Anda menyaksikan bumi Palestin yang kami sendiri rindui. Tembok maya dan tembok tentera itu semakin terbelah menanti untuk roboh. Semakin hampir kita dengan Tebing Barat untuk ke Baitul Maqdis, solat di masjidil Aqsa. Ribuan kaki akan menjejaki tapak laluan anda.
Baru-baru ini saya bersama sekumpulan teman-teman yang duduk mentalaah buku Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna. Sambil berbincang hukum hakam jihad, tangan sempat mencapai dan mengucah kacang serta menghirup kopi panas. Kadang-kadang terasa malu kalau nak dibandingkan dengan anda yang berada di lokasi sebenar.
Namun pengagihan kerja berlaku, sebahagian kita ber"tafaqquh fiddin" mencari ilmu, sebahagaian yang lain berjuang, manakala sebahagian yang lain berdakwah dan menyusun tarbiyah. Oh manisnya bekerja dalam Harakah Islamiyah.
Aqsa Syarif memancarkan perjuangan Palestin dari pelbagai penjuru. Bagi ulama, pendakwah, dan insan yang ditarbiyyah ia adalah sebahagian tanggongjawab perjuangan.
Bagi bukan ulama' ia adalah perjuangan persaudaraan seakidah dan seagama. Membantu saudara yang teraniaya. Kita tidak boleh duduk diam bersahaja sedangkan saudara kita merana.
Bagi none muslim ini adalah perjuangan kemanusiaan yang tidak terbatas. Anda adalah sukarelawan Aqsa Syarif yang menggerakkan ketiga-tiga kelompok pejuang Palestin. Dalam konvoi ini anda mewakili golongan ulama' atau pendakwah yang ditarbiyah. Anda memimpin golongan teramai masyarat Islam. Pada waktu yang sama, anda bersama none muslim mengerakkan isu Palestin.
Ya, saya minta anda terus mengatakan ini adalah konvoi kemanusiaan walaupun ia tidak terbatas kepada fahaman yang sempit. . Inilah hasil perjuangan tarbiyah IKRAM yang terpahat di dada dan akhlak anda.
Risalah Jihad Imam al-Banna mengajar bahawa kita membawa perdamaian. Jihad mengawal dan menjaga, agar perdamaian dapat dikekalkan. Hasilnya, akidah dan syariat yang menjaga hak asasi manusia dapat dipertahankan. Anda menjadi pembakar semangat perjuangan di tanahair.
Kami akan pastikan tabung Palestin Aqsa Syarif yang terluak akan dipenuhkan semula. Kerana anda telah habis menggagih-agihkannya kepada projek pendidikan, penternakan, pembangunan dan lain-lain di sana. Kita akan terus menghantar dengan apa cara sekalipun selagi Gaza dan Palestin belum mendapat haknya. Selagi AQSA terus dijajah.
Akhirnya, Al-Banna ada menukilkan sebuah hadis yang masyhur tetapi kata-kata itu lebih dinisbahkan kepada Ibrahim ibnu 'Ablah:
"Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad besar. Sahabat bertanya: Apakah jihad besar? Sabda baginda: Jihad hati atau jihad nafsu"
Tentunya anda faham maksud tersirat dari kata-kata ini. Anda akan kembali ke tanah air dari Gaza selepas berjaya dalam satu ujian. Namun ujian berikutnya menunggu anda. Ketahuilah disebalik kilauan lanser kamera itu ada penyakit. Di sebalik pujian itu ada racun. Teruskan berjihad melawan nafsu yang barangkali lebih ganas dari sebelum ini. Kerana, anda telah berada di makam yang berlaianan dari yang sebelum ini.
Terima kaseh kerana telah menunaikan janji mulia kita, mengizinkan telinga kami mendengar sorakan takbir kesyukuran dari saudara-saudara kita di Gaza. Allah telah memaqbulkan doa hamba-hambaNya ini.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.
Wassalam
USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM
No. 18 Jalan Damai Mewah 2,
Taman Damai Mewah, 43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Pej: 0387334636
Faks: 0387349636
Tel HP: 013-7444428
E.mail: admin@aqsasyarif.com
myhasanuddin@gmail.com
Web: www.aqsasyarif.com
AQSA SYARIF BERHAD Acc. No: MBB 551575004299
Tabuk Dulu dan 'Tabuk' Masa Kini
12 years ago
0 comments