Showing posts with label mafrel bkt selambau. Show all posts
Showing posts with label mafrel bkt selambau. Show all posts

Saya teringat celoteh salah seorang calon berlogokan basikal. Dia sempat berkempen di kedai kopi berhampiran dengan kami. ”Saya yakin, saya boleh dapat 10 ribu undi!”, tegasnya. Sepuluh ribu....satu pertiga tu! Kira mungkin boleh menang, sebab undi PKR dan BN sudah tentu dipecah lagi. Setelah calon itu jauh berkempen di kedai sebelah, datang penyokong-penyokongnya kepada kami, ”Ayo! Dia ni, aa..cakap saja besar! Kalau dapat 100 undi pun,...kira sudah baguih!”. Geli hati jugak tengok perangai depa ni. Namun, sebagai seorang bakal pemimpin memang kena yakin, walaupun dah tahu tak menang.

Tanggal 7hb.April, tibalah masa ’berperang’, vest “Malaysia For Free and Fair Election disarung di badan, ilmu akta pilihanraya tersemat di dada, tag MAFREL ungu siap digantung di leher dan senjata ampuh,...kamera di tangan kiri, pen di tangan kanan. Ayuh! Turun ke medan.

Tunggu,..pengundi-pengundi hantu, siaplah ...penyamar-penyamar. Kami tak kira, ahli PKR ke, BN ke, kami pantau sepanjang hari ini, dengan semangat ingin melihat pengundi-pengundi di Bukit Selambau bebas memangkah pemimpin yang mereka mahu tanpa ugutan, paksaan dan unsur-unsur ketidakadilan.

Seawal pagi 7.30, saya telah tiba di pejabat operasi JIM Sg Petani. Saudara Ong Beng Keong di sisi meja bersiap-siap untuk membuat kerja-kerja laporan di internet secara langsung. Tugasnya, sepanjang hari di pejabat operasi MAFREL untuk menerima laporan atau pertanyaan dari petugas MAFREL di tempat mengundi. Beliau yang berpengalaman dengan kerja pemantauan di dalam dan luar negara ni, memang dianggap sifu oleh petugas-petugas. Apa-apa hal, memang rujuk kepadanya.

Tugas saya sebenarnya membantu Ong, tapi juga kena pastikan petugas menjalankan pemantauan dengan baik di dalam dan luar pusat mengundi. Saya dipesan oleh salah seorang suami petugas wanita JIM PP ”Pastikan keselamatan pemantau dikalangan wanita”...., (Kak Adi, Kak Nani, Ummi Kalsom dan Kak Mai) apatah lagi di sekolah tengah kawasan ladang kelapa sawit.

Ada yang sempat, saya tanya khabar, ada yang sempat saya tawar bantuan. Mana sempat nak tinjau 28 org 'pejuang' di dalam kawasan 22 buah pusat mengundi. Mereka dibantu oleh lebih kurang 20 org lagi pemantau di luar pagar pusat megundi. Kami telah bahagikan DUN ini kepada 3 zon dan menugaskan 3 orang koordinator zon. Ini meringankan kerja saya.

Antara semua yg bertugas, hanya Harryzan, dgn kelicikan mengintepretasi peraturan SPR, dapat memantau di dalam tempat mengundi. Ummi Kalsom juga berjaya memenangai hati Ketua Tempat Mengundi untuk menembusi di dalam kelas, sungguh pun beliau seorang diri sahaj yang memantau.

Sepanjang hari mengundi, beberapa peristiwa menarik berlaku.

Antaranya, Kak Mai di S K Petani Para, dapat 'tangkap' pengundi yang masuk mengundi 2 kali.

Kali kedua terserempak, " Puan,tadi dah mengundi kan?" Terus dia cha alip but...Sempat tangkap gambar. Rasanya kalau tak kerana Kak Mai, tak mungkin PKR menang 5 undi di situ!

FRU juga cuba men'justify'kan kehadiran mereka dengan meredakan ketegangan di Sek Men Aman Jaya.

Berlaku penyokong MCA baling botol di Sek Chung Hwa. Gelagat mereka sempat dirakam.

Lebih 10 orang SB berkeliaran di SK Tasek Apong. Semua di ambil gambar.

Tabik hormat MAFREL kepada beberapa akhawat JIM PP, Kak Ummi, Kak Adi dan Kak Nani kerana mereka bersendirian memantau di tengah pendalaman ladang kelapa sawit. Dah la ambil cuti..balik-balik hujan lebat lagi! Kami sempat bertemu untuk berkongsi pengalaman menarik sepanjang hari di pejabat operasi sambil menghilangkan lapar. Seronok rasanya, bersama-sama menunggu berita TV keputusan PRK. SMS demi SMS yang menggembirakan ahli-ahli parti pembangkang, memenuhi telefon bimbit saya.

Namun bagi MAFREL, siri kesalahan dan salah laku BN dalam proses kempen yang berat sebelah, tak bebas dan banyak unsur ugutan,….semua ini menggambarkan rakyat perlu banyak lagi didedahkan tentang hak mereka untuk mengundi dengan bebas dan adil. Terlalu banyak kesalahan di depan mata tidak dipedulikan kerana telah menjadi kebiasaan.

Akhir sekali, saya bagi pihak MAFREL Pulau Pinang/Kedah mengucapkan jazakumullahu khairan atas kesudian JIM Sg Petani merelakan pejabatnya menjadi pusat operasi MAFREL Bt Selambau selama dua minggu lebih. Kepada saudara Isahak, Farizal, Syed Mohd, Rosli Rashid dan Kak Fauziah juga tampil membantu mengutip laporan-laporan pada petang tu,… terima kasih.

Tak lupa juga kepada petugas2 MAFREL yang sedang meningkat naik, Rusmidin dan rakan2nya dari Kuala Nerang. Komitmen yang ditunjukkan oleh Ong, Harryzan & kakitangannya, ahli-ahli JIM Sg Petani, Uncle Tony, Sandrasekharan, rakan2 India yang lain adalah dihargai. 11hb April, sessi lapor-balik dijalankan. Untuk menghargai usaha mereka, rakan2 MAFREL dijemput ke majlis hi-tea meraikan 'kemenangan' MAFREL.

Sebagai penyudahnya, antara perkara pembaikan yang saya dapat kutip kali ini ialah

  • Kempen awal untuk kumpul sukarelawan seawal hari pengumuman DUN bubar.
  • Koordinator kena rajin berkomunikasi dengan petugas-petugas di bawah seliaannya. Mengadakan taklimat yang sama beberapa kali kerana ramai yang tidak hadir.
  • Cari lokasi pejabat operasi di dalam kawasan DUN, supaya dapat menarik lebih ramai menjadi ahli malahan memudahkan pemberita buat liputan.
  • Pastikan petugas di pendalaman ada bekalan makanan tengahari oleh MAFREL, bukan SPR.
  • Pastikan semua petugas pulang selepas menghantar laporan bertulis dan foto-foto di’download’kan kepada koordinator terlebih dahulu.

Mudah2an PRK Bt Selambau ini menjadi pemangkin kepada JIM Kedah meramaikan lagi sukarelawan di Pilihan Raya yang akan datang.

YDP JIM PP

Posted by JIM PULAU PINANG Wednesday, April 15, 2009 0 comments


Umum mengetahui pilihanraya kecil bakal berlangsung di tiga kawasan pada 7 April. Saya yang baru mengenali MAFREL (MAlaysia for FRee and fair ELection) pada tahun 2008, iaitu PilihanRaya Umum ke 12. Asalnya malu alah kepada Syed Ibrahim, …….. ya lah, sebagai YDP, saya kelolakan latihan MAFREL untuk merekrut ahli2 NGO di Pulau Pinang. Setakat tu, je…. Alih-alih, terlantik sebagai Koordinator Pulau Pinang pulak!

Alhamdulillah, dengan kuasa YDP yang ada pada saya, habis saya kerah seramai mungkin ahli-ahli JIM menganggotai sebagai pemerhati MAFREL. Ramai juga yang ikuti… mencecah 30 orang. Tetapi yang lebih mencabar ialah semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh. Pemerhati MAFREL waktu itu telah dilatih dibawah saya menjangkau 150 orang, termasuk dua tiga orang ahli UMNO….dan juga seorang SB!

Kini, DUN Bukit Selambau menggamit MAFREL Pulau Pinang membantu MAFREL Kedah. Ahli MAFREL Kedah sewaktu PRU 12, tak seramai mana. Jadi, ini peluang bagi ahli JIM Kedah meramaikan lagi penglibatan mereka. Saya dan Ong Beng Keong memulakan perjumpaan dengan Cikgu Pisal dan Dr Zolkipli, YDP Sg Petani. Alhamdulillah, Allah mudahkan MAFREL beroperasi di pejabat JIM Sg Petani.

Cikgu Atiqur Rahman, Penolong Kanan Sekolah Sg Lallang turut membantu selain En. Sandrasekharan, seorang Ahli Majlis Majlis Daerah Kulim,..rupanya! Kami telah berbincang tentang bajet, kerja-kerja pengurusan dan latihan yang perlu dibereskan. Kalau tak buat ni, tak berjalan la, MAFREL di Bukit Selambau. Seperti biasa, pendaftaran awal amat kritikal untuk memohon SPR meluluskan pemantau MAFREL bertugas di dalam tempat mengundi.

Oleh kerana ahli JIM di Kedah agak ‘perlahan’ sikit menyahut, saya ajak ahli JIM Pulau Pinang yang pernah menyarung ‘vest’ MAFREL tampil mendaftar. Alhamdulillah, saya mendapat banyak sokongan dari akhi Mustaffa, Harryzan dan kakitangannya. Ahli PAS Pmtg Pasir, Rosle tak ketinggalan mendaftar. Syabas juga kepada tiga sekawan dari USM, Kak Nani, Kak Adi dan Umi Kalsom. Mereka bukan sahaja setakat menyertai pemantauan malahan menyediakan modul-modul latihan lagi!

Dalam pada tu, rupa-rupanya ada ahli MAFREL dari Kuala Nerang. Terfikir juga,”Jauhnya mai dari Kuala Nerang, ..kurang-kurang 2 jam baru sampai kat Sungai Petani. Mai dengar taklimat 2 jam, lepas tu, balik”. Semoga Allah rahmati mereka dan Rosmidin, sahabat muda ahli JIM Kedah yang berpotensi memimpin belia Kedah.

Kumpul punya kumpul, dapatlah seramai 33 orang nama pemantau untuk dikemukakan kepada SPR. Kalau ikutkan skop kerja, saya tak perlu buat apa yang telah saya buat di pejabat pengoperasian Permatang Pauh dulu. ”Sepatutnya orang Kedah la, yang buat ni...!”. Tapi, orang Kedah tak boleh nak pulun semua. Saya juga yang tolong cetak gambar, panggil rakan lama MAFREL ke mesyuarat, beri latihan, hantar kurier ke MAFREL Pusat. Tak pe lah...pelan-pelan kita latih mereka ni supaya dapat mengambil alih nanti.

Nanti sambung....

Posted by JIM PULAU PINANG Monday, April 13, 2009 0 comments

Subscribe here

Pengenalan

JIM PULAU PINANG

Location: 64, Tingkat 2, Jalan Bukit Kecil 1, Taman Sri Nibong, Pulau Pinang

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Islam. Telah diluluskan pendaftarannya pada 21 Januari 1991.

Photobucket

Video Hishamuddin Alham (Sony Vages)