Salam,

Pada malam saya menulis ni, tinggal 7 hari lagi sebelum Hari Penamaan Calon DUN Penanti. Tak tau lah samada BN nak bertanding atau tak. Ada beza suasana kempen kalau BN turunkan calon atau tidak. Kalau BN bertanding, kempen mesti sakan. Kalau lawan antara PKR dan calon bebas, kita akan saksikan suasana kempen yang tak meriah buat pertama kali!

Apa-apa pun, MAFREL telah mula bermesyuarat pada 7hb Mei lagi. Alhamdulillah, kali ini saya dapat ‘delegate’ kerja-kerja ini kepada pelatih MAFREL yang berpengalaman. Saya bukan lagi pengarah misi pemantauan kali ini. AJK MAFREL kali ini 50% daripadanya adalah ahli JIM. Terima kasih saya ucapkan, kerana mengurangkan beban saya.

Bukannya apa, dalam tempoh yang sama, Jawatankuasa Tarbiah JIM Pusat mahukan 10 orang peserta dari JIM Pulau Pinang menyertai PERKASA 2009. Syaratnya peserta mesti berumur 35 tahun ke bawah dan sedang mengikuti usrah tahap 02. Pening kepala saya dibuatnya! Saya meng’agenda’kan PERKASA ini dalam mesyuarat JIM Negeri. Alhamdulillah YDP-YDP Daerah memberi komitmen untuk mencari calon-calon peserta PERKASA. Namun sehingga tarikh tutup penyertaan, saya hanya dapat 7 orang sahaja!

“Tak kan JIM PP tak dapat hantar peserta tahun ni?”, begitulah bunyi SMS saya kepada YDP Daerah dan AJK Negeri. Saya doakan JIMPP berjaya dapatkan 10 peserta. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, kita tidak serius merancang membina pelapis pimpinan. Kalaulah kita mempunyai takungan pemuda yang mengikuti usrah, sudah tentu kita tak ada masalah.

Apa nak buat usaha lah lebih sikit. Pada minggu yang lalu, saya menghubungi ahli JIM Gen-Y yang bekerja di Kangar, Ikhwan Mansor. Saya memujuknya supaya sertai PERKASA, tetapi beliau menolak kerana terpaksa menghadiri program keluarga yang telah dirancang setahun lalu untuk ’re-union’. Saya menerima alasan itu, sebab saya sendiri pernah buat benda yang sama dan clash pulak dengan program JIM.

Namun, satu hari terjumpa beliau dan Hafiz Kassim (orang kuat Karisma) di kenduri rumah Dr Roslan tempoh hari. ”Ini sorang lagi...”, ujar saya yang sedang berbicara pasal status PERKASA dengan Hj Atan. ”Baru 3 Lelaki, Wanita dah 4...”. Saya mengharapkan Hafiz memberi respon. Tiba-tiba tut-tut, terima SMS dari Ikhwan,”Ada kosong lagi ke perkasa? Ana cuba adjust org replace untuk hari keluarga”. Alhamdulillah....kini 8 orang peserta akan ke PERKASA.

Lagi dua peserta lelaki? Masih mencari dan mencari....


YDP JIMPP

Posted by JIM PULAU PINANG Sunday, May 24, 2009 0 comments


















Salam,

Lama tak menulis. Kerja pejabat banyak dan hadiri seminar mengambil masa saya menulis.

Saya teruja dengan program hari keluarga yang dianjurkan oleh JIM Pusat dan beberapa negeri JIM lain. Kenapa tak buat lagi di Pulau Pinang? Saya terus cabar kepada Dr Aidi AJK Keluarga, anjurkan satu. Alhamdulillah! Cikgu Rusli menyahut dengan bersetuju menjadi hos.

Tanggal 9hb.Mei, Tasek Mengkuang menjadi tumpuan ahli-ahli JIM seluruh negeri Pulau Pinang. Jam 7.30 pagi waktu bermula, tapi tak semua yang sanggup tiba seawal pagi tu. Tambahan pula dengan hujan sekejap-sekejap dari semalam. Saya tiba bersama tiga orang anak tanpa isteri kerana ada mesyuarat Tadika.

Acara pertama adalah ’jogging’ bersantai. Sebaik saja bermula, ramai menderu ke depan untuk merebut 10 tempat pertama. “Ada hadiah...”, semua di hadapan tentu berfikir. Saya ulas, “Ini bukan santai ni..” sambil tercungap-cungap mengejar Cikgu Rusli di hadapan. Sebab tu pasukan jogging saya tanpa anak saya Shakir,...kalau tak, tentu tak dapat hadiah nombor enam!

Pagi tu, nasi lemak Ahmad Habuna, cukup umphh! Selera betul! Sebungkus saya habiskan rasa macam nak lagi. Saya cukup seronok melihat kehadiran ahli-ahli JIM dari jauh dan dekat. Suasana ceria dengan nasyid ‘non-stop’ berkumandang di Tasek Mengkuang diceriakan lagi dengan celoteh ‘dee-jay’ Arif Budiman dan Cikgu Rusli.

Hari Keluarga pagi sudah pasti hambar kalau tak ada sukaneka anak-anak. Ahli JIM SPU, pimpinan Cikgu Non memang pakar sukaneka. Baling plastik berisi air, boling buah kelapa, jalan atas bata dan lain-lain lagi. Permainannya mudah, tetapi kerenah peserta yang melucukan. Dan sudah tentu persediaannya agak renyah juga. Saya bagi ‘credit’ pada Cikgu Non and the Geng.

Persembahan kumpulan juga menarik dan mencuit hati. Walaupun tak lama, tapi mencukupi untuk melihat tahap kesungguhan ahli-ahli Daerah menjayakan persembahan. Haji Nahar, walaupun bukan ahli JIM P Pinang, tetap hadir. Dia memilih untuk hadir program ini (yang terakhir baginya) daripada pulang menemui anak-anak dan isteri yang tersayang di Kuala Lumpur. Kerananya beberapa ratus ekor lalat mati!

Dr Danial pula sempat mengunjungi program walaupun sibuk. Tazkirahnya ‘power’ macam biasa. Sempat berbual-bual dengannya mengenai perkembangan di DUN Perak dan penglibatannya dengan siri ‘Halaqah’ di TV9. Di benak hati saya, “Wish he is back as YDP or active JIM member..”

Akhir sekali, sekalung tahniah dan jutaan terima kasih kepada Cikgu Rusli YDP SPT dan ahli-ahli urusetianya, semua ahli-ahli yang hadir. Tak lupa kepada JIM SPU yang menjuarai persembahan dan sukaneka. Tanpa anda semua Hari Keluarga 2009 tak akan menjadi kenyataan.

Apa pula selepas ini? PERKASA dan KEMUDI menunggu kita. Bulan Jun, bulan yang sibuk. Entah lah,...mungkin muzakarah RJIM2 Negeri Pulau Pinang pertengahan Jun jadi ke tak?

YDP JIM PP

Posted by Zahpp Tuesday, May 19, 2009 0 comments

Baru-baru ni, saya hadir kuliah yang disampaikan oleh ustaz Sobri Saad.

Masya Allah! Pengisian yang disampaikan oleh ustaz memang terasa di kalbu.
Rupa-rupanya baru saya faham kenapa usrah lesu, kenapa ahli JIM tak meningkat, kenapa sebahagian kita bersikap ‘sejuk’ untuk hadir program-program tarbiah. Apakah fenomena kelesuan dakwah fardiah ada penawarnya? Adakah di sana jawapan kepada ‘kekeringan’ jiwa para penggerak dakwah di Pulau Pinang.?

YA! Ibarat sabda Nabi s.a.w., bagi setiap penyakit, Allah jadikan ada penawarnya kecuali maut. Begitu juga penyakit ‘futur’ dalam hati, pasti ada ubatnya. Ustaz Sobri menyarankan bangun awal pada satu per tiga malam yang terakhir. Solat dua rakaat dengan hati penuh perhambaan mengadap Sang Pencipta.

Susuli dengan merenung ayat-ayat al Quran. Biarlah hati dapat merasai seolah-olah Allah yang menurunkan arahan / peringatan kepada kita. Bila baca ayat ancaman siksaan azab, doalah agar Allah lindungi kita. Ayat-ayat janji syurga harus memotivasikan kita lantas mohonlah agar Allah kurniakan kepada kita rahmat Nya.

Seterusnya, ustaz pesan supaya berzikir samada bertahmid, bertasbih, bertakbir atau ”La ilaha illa Allah” berulangkali. Yang penting hati kena hadir dan tawadhu dengan keagungan ilahi. Seharusnya ini membuahkan rasa insaf dan bersalah dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Ikutilah wirid dengan istighfar rasa kesal atas tergamaknya kita mendurhakai Allah Pencipta Sekalian Alam.

Akhirnya, ustaz memperingatkan kita tentang kehebatan doa. Orang mukmin yang berdoa sentiasa berada di puncak mindanya. Doa juga adalah senjata oang mukmin. Doalah dengan rendah hati. Di hening subuh, sudah tentu bisikan doa disambut oleh Allah. Tiada hijab ketika itu. Doakan untuk diri, kaum keluarga dan juga untuk sahabat dan jamaah.

Ini satu proses tazkiah hati yang cukup berkesan. Hubungan dengan Allah lebih dekat dan saya yakin sekiranya ini menjadi amalan yang konsisten, nescaya kita melayakkan pertolongan Allah kepada perjuangan menegakkan syariah Allah.

Posted by JIM PULAU PINANG Saturday, May 2, 2009 0 comments