Jumaat 13hb.Mac, hari cuti bagi saya. Jiran di Pokok Sena sering menyapa saya,”tak kerja ke?” “La ni, orang kata tak boleh derhaka Sultan. Hari ni, Sultan Kedah kata jangan kerja hari Jumaat, saya tak mau kerja, nanti derhaka kat Sultan..” seloroh saya.

Saya menerima penggilan dari tuan Haji Razali. ”YB Malek nak jumpa JIM esok pukul 11.30 pagi di KOMTAR…” Saya menolak walaupun teringin nak jumpa sekali lagi atas nama JIM. Saya wakilkan kepada Setiausaha Negeri, Ishak. Kena jemput juga, ahli-ahli JIM yang menjadi Pengerusi Masjid atau AJK penting masjid. Saya teringat ustaz Khairul pengerusi masjid Tasek Gelugor, Mohd Tuah Titi Teras, Dr Rizal Taman Bukit Panchor dan ramai lagi rupanya ahli JIM yang ahli masjid ni. Akhirnya saya dapat yakinkan ahli JIM SPT yang menetap di SPU, Peguam Rosidi Hussein yang merupakan timbalan pengerusi masjid Bertam pergi sertai Haji Razali bertemu dengan YB Malek. Tambahan pula, beliau juga ada cita-cita nak jadi calon PRU13 akan datang. Jadi, elok sangatlah bertemu dengan orang politik.

Saya tidak sertai Hj Razali sebab pada hari yang sama, adik-adik saya akan datang ke rumah untuk menghantar anak saya Muhd Ihsan yang ‘bertukar angin’ dari sekolah Islah Sungai Petani ke sekolah Hidayah, Ipoh. Selain anak ketiga saya ni, anak Ketua Wanita dan anak Dr Danial (kalau tak salah saya) pun sambung belajar di sana.

Sabtu 14hb.Mac. Hujung minggu ni, paling sibuk dengan program North Camp, Mukhayyam Wanita dan Excell 2009 Kelab Remaja JIM jatuh pada hujung minggu yang sama. Isteri saya, Farihah, saya galakkan sertai mukhayyam anjuran wanita JIM Kulim. “Sekali sekala kena biasakan duduk di luar. Itukan tarbiah juga tu. Bawalah anak kecil tu sekali, lagi pun Bibi nya ada. Anak tiga beradik ni, abang jaga…” ujar saya.

Kami ke Sedim bersama YDP JIM SPU, Yusof Zaki. Satu jam perjalanan juga jauh nya. Di sana berhimpunlah peserta yang mengikuti usrah tahap 1 dan 2 datang dari Perlis, Jitra dan Pulau Pinang berkumpul di Eco-Park, Sedim. Ini adalah program perkhemahan yang melatih disiplin, ketaatan dan kerja berpasukan (amal jamaiy) di dalam jamaah.

Saya dijemput untuk memberi ucapan perasmian. Amat menarik bila melihat julat umur peserta dari 13 tahun hingga 55 tahun. Macamana penganjur nak mengimbangi aktiviti peserta muda yang lasak dan peserta usia senja yang kaya dengan pengalaman, tentu mencabar rasanya.

Saya menegaskan mukhayam adalah salah satu wasa’il (program) yang diatur dalam modul usrah yang melatih pembinaan fizikal dan amal jama’iy. Selain daripada itu, usrah, qiamullail, daurah dan rehlah juga adalah program –program yang wajib diikuti semuanya sebagai peningkatan diri. Sikap ’ana minat mukhayam aje, usrah-usrah ni, tak mau la....” adalah sikap yang perlu diperbetulkan.

Sempat berbual dengan Zulqarnain, pengarah program. ”Peserta akan dihindarkan dari mandi sungai...” Ha!.. kan mencabar tu,..air sungai jernih melambai-lambai, peserta tak dibenarkan mandi!”. Teringin nak ikuti, tapi tetamu dari Ipoh bakal menjenguk 12 tengahari nanti. Bukan selalu adik-adik saya datang ke sini. Jadi, tak patutlah kami sekeluarga ‘menghilangkan diri’ atas nama urusan dakwah.

Saya yakin, mukhayam ini akan berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya. Apa-apa pun tahniah kepada team Rintis JIM SPT ni. Katanya ada lagi program out-door yang akan bakal menanti untuk keluarga JIM pula...


YDP JIM PP

Posted by JIM PULAU PINANG Sunday, March 22, 2009

0 comments

Post a Comment