Sejak FORUM bertemu dengan YB Abdul Malek, kami boleh dikatakan menerima suntikan baru untuk meneruskan wacana Pemikiran Umar Abdul Aziz. Mana taknya, program yang dirancang sejak YAB Ketua Menteri mencanang-canangkan kepemimpinan khalifah Umar Abdul Aziz tahun lalu, tak menjadi-jadi.

Hasrat FORUM ialah supaya YAB merasmikan program dan hadir dengar mesej yang perlu difahami oleh beliau. Kita tidak mahu beliau menjadikan kehebatan khalifah ini sebagai gimik politik semata-mata. Bulan November, kami jemput secara rasmi melalui Hj Rashid, tak menjadi pada saat akhir kerana ada program Ketua Menteri yang lebih mendesak. Bulan Januari pula, tarikh telah dikosongkan oleh PA Ketua Menteri, namun terpaksa batal kerana bertembung dengan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Saya peringatkan, Nabi Musa dan Nabi Harun sebenarnya buat ‘appointment’ dengan Firaun lebih satu tahun baru boleh dapat masuk istana. Itu pun kebetulan `joker’ suruhan Firaun terserempak di hadapan pintu istana lalu dikhabarkan kepada Firaun. “Jadi, kita jangan berputus asa. Kita kena usahakan sehingga jadi program ini”, tegas saya.

Mesyuarat demi mesyuarat kami buat. Persediaan mesti yang terbaik. Sebagai pengarah program, saya agak `particular’ dengan soal delegasi kerja. Sering terjadi kita anggap `orang bayangan’ lakukan kerja-kerja kecilan. Akibatnya kelam kabut dan kesabaran kita kadang-kadang tercabar. Jiwa perlu besar mengharungi kelemahan rakan-rakan.

Namun, saya amat terharu dengan komitmen rakan-rakan NGO. Kita menolak perbezaan organisasi semata-mata untuk menjayakan matlamat bersama demi kemaslahatan dakwah di Pulau Pinang. Masing-masing tidak kedekut idea dan bantuan. Ada semangat ”mengapa tidak saya yang buat” di dalam kerja berpasukan FORUM ni, alhamdulillah.

Maka, terlakar di dalam sejarah FORUM Penyatuan Umat Islam Pulau Pinang kerana berjaya melaksanakan Wacana ini dengan kerjasama Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 22hb. Mac 2009. Program ini dirasmikan oleh YAB Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ucapan aluan disampaikan oleh YDP ABIM P Pinang, Ustaz Zayd sebagai wakil FORUM. Beliau menggariskan harapan FORUM kepada Kerajaan. Diikuti dengan ucapan terima kasih dari YB Exco Agama, Hj Abdul Malek. Ucapan YAB Lim Guan Eng memang menarik. ”Kalaulah pembinaan bangunan pencakar langit diterima sebagai pembangunan tamadun, maka Firaun juga pemimpin pembangunan yang hebat!..”

Beliau menekankan pentingnya pembangunan insan. Bagus lah! Sejajar dengan konsep pembinaan insan menerusi pemerkasaan masjid yang kami cadangkan.

Pengerusi panel pembentangan dua orang pensyarah yang ilmuan ialah Dr MD Roslan Hashim. Dikendali dengan cekap oleh Dr Roslan. Katanya dia tidoq pukul 4 pagi menyediakan slide pembentangan Dr Fadlullah. Penyampaian Dr Badli Hisham amat dipuji kerana isi mesej nya datang dari people from the groundwork.

Akhir program disempurnakan oleh Hj Abdul Halim dari Haluan apabila beliau membacakan 6 Resolusi Wacana ini. Insya Allah, akan dikongsi bersama selepas pemurnian dalam bentuk buku. Selain akan dijual kepada masyarakat umum, FORUM menghadiahkan satu set kepada kerajaan . Ketua Menteri memang memintanya. Mudah-mudahan Allah buka pintu hatinya.

Posted by JIM PULAU PINANG Monday, March 30, 2009

1 Responses to Kegigihan Akhirnya Membuah Hasil

  1. HjRashid Says:
  2. Semoga dapat terus istiqomah

     

Post a Comment