Segala pujian kepada Allah Rabb sekalian alam yang berfirman ”Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.”.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar saw. Dan tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Perkasa.

Yang dihormati saudara pengerusi majlis, pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan Al Itqan, ahli-ahli jawatankuasa , guru besar dan penolong kanan.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Bersyukur kepada Allah kerana dengan nikmat kurnianya kita dipertemukan di majlis ini.

Pertamanya, terima kasih kerana sudi menjemput saya menyampaikan ucapan. Keduanya, saya ucapkan tahniah kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah yang baru dilantik. Semoga barisan baru ini dapat melonjakkan lagi dinamisme membina generasi rabbani.

Saudara-saudari yang dirahmati sekalain,

Payungan MUSLEH

Seperti yang sedia maklum, pusat pendidikan Al-Itqan ini adalah di bawah payung Pusat Pendidikan SRI-SMI Bhd. Atau pun diberi nama MUSLEH. Apakah itu MUSLEH? Apa kerja buat MUSLEH dan pencapaian nya?

MUSLEH merupakan sebuah jaringan sekolah Islam bersepadu. Ia didaftarkan pada 4hb.Mei 2000 sebagai syarikat berhad dimana Ahli Lembaga Pengarahnya terdiri daripada Pengerusi sekolah-sekolah jaringan. Pada tahun 2007 jumlah sekolah ialah 30 buah dengan bilangan murid-murid menjangkau 10,000 orang. Sementara MUSLEH menetapkan dasar dan polisi, sekolah-sekolah diberi autonomi penuh mengurus dan mentadbir.

MUSLEH telah menjuarai pendidikan Islam dengan mengambil bahagian aktif dalam International Conference on Islamic Education 2007, Seminar Pendidikan Islam Kebangsaan, Dialog dengan UN Special Rapporteur, sesi dialog antara budaya anjuran Dong Jiou Zong dan lain-lain kerjasama.

Dalam pada itu, MUSLEH juga adalah badan perunding dan rujukan untuk manhaj tarbiah Musleh, Sistem Pentaksiran Pelajar, Sukatan Pelajaran Ilmu Syariah, Manual Penubuhan SRI_SMI baru dan Sistem Penaziran MUSLEH. Ini termasuk menyediakan program latihan mantap Kepengetuaan, Perguruan dan Penolong Kanan.

Demikianlah sedikit gambaran mengenai MUSLEH. Sekurang-kurangnya kita tahu kita ada rangkaian sekolah-sekolah rendah Islam dan menengah Islam seluruh Malaysia.


Saudara-saudari,

Halatuju Institusi Pendidikan Islam

Namun, kapal Al Itqan yang cantik, tidak ada gunanya kalau tiada nakhoda. Tiada nakhoda pun tidak ada ertinya kalau tiada kompas.Ada kompas, buat apa kalau tidak tahu hendak ke mana. Ke manakan kita ingin bawa anak-anak kita? Maknanya, perlu ada bagi Pusat Pendidikan Al Itqan mempunyai halatuju yang sejajar dengan MUSLEH.

Ini adalah dijelmakan dalam bentuk Falsafah Pendidikan Islam iaitu suatu proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlaq mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negar dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnag melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan.

Dalam pada itu, sesuatu organisasi yang kemas perlu ada penyataan visi dan misi.

Pendidikan Islam mesti relevan

Di Pulau Pinang, sungguhpun saban tahun, kita menerima pendaftaran anak-anak waris darjah satu yang ramai sehingga terpaksa tolak permintaan, namun kita tidak boleh mengambil mudah (complacent). Kita mesti jadikan pendidikan Islam ini relevan kepada masyarakat Pulau Pinang.

Jika merujuk kepada Falsafah Pendidikan Islam, sifat utama kepada falsafah ini ialah Al-Itqanul Amal Al Mutawaasil, bermaksud Penyempurnaan Amal Yang Berterusan. Dalam istilah pengurusan ialah continuous improvement. Jadi, maksudnya pihak pengurusan haruslah sentiasa memantau pengoperasian sekolah malahan perlu peka kepada rungutan-rungutan waris dan masyarakat setempat. Apabila ini dilihat dan dikaji dari semasa ke semasa, sekolah dapat menyediakan khidmat pendidikan yang cekap, berkesan dan terkini.

Saudara-saudari yang dihormati,

Generasi Rabbani

Bagaimana pula rupa produk yang keluar dari sekolah kita?

”Knowledge base of education; The Future World Will Be Knowledge Based”. Kata-kata ini mungkin boleh dijadikan rujukan. Bukan sekadar ilmu, malahan kita hendak melahirkan anak-anak yang beriman dan bertaqwa bukan sekadar seorang individu tetapi generasi demi generasi. Selain daripada sukatan pelajaran yang disediakan oleh MUSLEH yang tidak kurang pentingnya ialah tarbiah.

Merujuk kepada surah al Ahzab:21 , Allah berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Tiada cara yang terbaik mendidik anak-anak murid melainkan guru menunjukkan contoh tauladan yang baik. Sekolah-sekolah lain telah menunjukkan stastik yang memberangsangkan dimana seramai 2621 orang pelajar melalui pemeringkatan tarbiah dari 00 kepada 02. Alhamdulillah. Jadi, tarbiah usrah adalah wajib di sekolah al Itqan..


Tenaga Pengajar umpama Operator Pengeluaran Kilang

Tetapi saudara dan saudari,

Kilang Itqan yang kemas, ada sistem pentadbiran Itqan yang cekap dan ada produk yang berkesan, namun pengurus kilang dan pekerja pengeluaran, dalam konteks ini guru besar dan guru-guru kelas tidak berkongsi matlamat, tiada iltizam (will power) dan tidak ada ghairah untuk mendidik anak-anak yang beriman dan bertaqwa, maka sekolah tidak akan beroperasi dalam jangkamasa yang panjang.

Oleh yang demikian, pengajar wajib berilmu, beriman, bertaqwa, passionate, memberi komitmen dan berkemahiran.

Justeru itu, MUSLEH telah menyediakan latihan dan kursus untuk meningkatkan kompetensi diri dan kecekapan pengurusan. Ia dijalankan berkala setiap tahun. Ambillah peluang untuk belajar dan menambah ilmu mudah-mudahan Allah memperkasakan kita lagi, insya Allah.

Infra Struktur Sekolah

Pembangunan infra struktur amatlah mustahak untuk sekolah berkembang. Tetapi seperti yang sedia maklum, kos perbelanjaannya amat-amat tinggi. Saya mencadangkan agar pihak pengurusan sekolah kutip hutang-hutang lama supaya dapat meningkatkan kemampuan aliran tunai kewangan untuk pembangunan. Kemudian, adakan kolam takungan penyumbang dermawan atau mereka yang mampu membuat pinjaman individu dari bank lalu disumbangkan kepada sekolah sepenuhnya.

Dengan kemampuan sekolah, pihak pengurusan lah yang membayar balik wang pinjaman kepada sekolah. Sekolah al Islah di Sungai Petani telah menyiapkan bangunan RM 1.2 juta melalui kaedah ini dan kutipanzakat. Wallhu’alam, ini hanya satu saranan dari saya.

Harapan dan Penutup

Kita amat-amat bersyukur dengan segala anugerah ilahi dengan pencapaian sehingga kini. Moga-moga semua pencapaian ini akan menjadi pendorong kuat bagi kita untuk meningkatkan lagi usaha-usaha ke arah keredhaan Allah. Sama-samalah kita dalam perjuangan nin , menjayakan pendidikan kita segna apa jua cara sekalipun sehingga tercapai hasrat meninggalkan seunnah hassanah, berdakwah dan memimpin manusia di seluruh pelusuk dunia.

Moga-moga Allah swt merahmati kita dengan iman, taqwa dan ukhuwwah Islamiyah, menyelamatkan kita dari azab jahanam dan menganugerahkan kita semua Jannatul Firdaus, amiin.

Posted by Zahpp Friday, April 10, 2009

0 comments

Post a Comment